Wednesday, May 20, 2009

Salam Amal.

Assalamu`alaikum warahmatullahi wabarokatuh.

Semoga sejahtera dan berbahagia selalu hendaknya warga Unit Amal Malaysia dalam melaksanakan tugas-tugas harian di samping ber'amal bakti di sisi Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Apapun tugas warga Unit Amal Malaysia laksanakan adalah demi tuntutan syari'at dan mengharapkan mardhatillah semata-mata. Inilah tuntutan syahadah kita dan inilah juga nadi penggerak sukarelawan Unit Amal Malaysia. Sayugialah warga Unit Amal Malaysia sentiasa di hadapan dalam mengendali sesuatu perkara di dalam apa juga keadaan dan rintangan.

Muttaakhir ini jenama Unit Amal Malaysia begitu gah dipersada tanah air dan juga di mata dunia. Unit Amal Malaysia dibuai seribu satu ayungan pujian, namun semua itu bukanlah yang diidamkan oleh Unit Amal. Kerana segala pujian dan sanjungan akan hilang bila-bila masa sahaja bagaikan angin lalu. Unit Amal mesti utuh dengan bai'ah 'amalnya tanpa mengira siang dan malam, panas atau hujan, ribut dan taufan. Unit Amal tidak akan terleka dan terlena dek ulikan pujian. Unit Amal mesti terus memasang tekad dan semangat betapa tenaga dan masa yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wata'ala gunanya untuk berbakti kepada Islam.

Pengalaman demi pengalaman yang ditimba oleh Unit Amal adalah terlalu berharga lantas amat wajar Unit Amal manfa'atkan demi keperkasaan Unit Amal Malaysia. Sudah tiba masanya Unit Amal Malaysia memperkukuhkan anggota-anggotanya dengan kemantapan tarbiyyah Islam sebagai badan sukarelawan yang unggul di tanah air. Manfa'atkan semaksima mungkin setiap anggota yang sentiasa bersiap sedia untuk berkhidmat.

Fikrah atau mentaliti sukarelawan-sukarelawan Unit Amal jika diamati masih ditahap hanya bergantung kepada semangat semata-mata. Sedangkan dalam tuntutan 'amal Islami, setiap individu muslim yang beramal mestilah berteraskan kepada aqidah. Menggabungkan diri dalam Unit Amal adalah bermakna diri digabungkan dalam Jema'ah Perjuangan Islam.Maka amat wajar sekali Unit Amal diselaraskan selari dengan tuntutan Jema'ah Perjuangan Islam.

Penggabungan sukarelawan Unit Amal adalah PENGGABUNGAN AQIDAH & PENGGABUNGAN MASA DEPAN. Penggabungan Aqidah yang ditanam dalam jiwa mesti diterapkan sejauh mana kit melarutkan Aqidah Islamiyyah itu ke dalam diri kita? Unit Amal menolak penggabungan diri pada zahirnya sahaja. Oleh itu penggabungan diri ke dalam Unit Amal membawa erti Menggabungkan Diri dan Melaksanakan Amal Islami Secara Menyeluruh. Setiap Sukarelawan Unit Amal mesti menta'ati perintah Allah Subhanahu Wata'ala dan meninggalkan segala larangan dan tegahan Allah Subhanahu Wata'ala di samping melaksanakan 'amal Islami hanya mengharapkan keredhaan Allah semata-mata. Penggabungan Aqidah akan mengikat sukarelawan dengan Allah Subhanahu Wata'ala. Inilah rahsia istiqamah penggabungan diri dalam Aqidah Islami.

Unit Amal Malaysia menolak penggabungan diri yang dibuat dengan melulu yang didorong oleh semangat semata-mata. Unit Amal menitik beratkan pelaksanaan tugas-tugas 'amal Islami mengikut cara hidup yang ditegakkan atas dasar kefahaman dan ilmu tentang alam, insan dan kehidupan.

Unit Amal juga menolak penggabungan diri yang didorong oleh maslahah dan kepentingan, aitu penggabungan diri yang dijadikan batu loncatan untuk mencapai tujuan dan kepentingan diri sendiri baik yang bersifat kebendaan atau pengaruh. Penggabungan ke dalam Unit Amal membawa erti sukarelawan sentiasa bersedia menyerah dan mengorbankan seluruh tenaga dan kemampuannya sebagai khidmat kepada Islam. Inilah yang yang akan menambatkan 'amal dengan niat. Oleh itu sukarelawan Unit Amal mestilah membersihkan jiwa dan menyucikan diri dari sebarang tujuan kepentingan diri sendiri.

Sukarelawan Unit Amal perlu ada jatidiri 'Amilin Muttaqin' bagi melaksanakan tugas-tugas kesukarelawan. Jatidiri mesti dibentuk dengan berlandaskan 'amal Islami dan bebas dari tindak-tanduk keduniaan (sekularisme). Kerana beratnya bebanan yang dipikul oleh Unit Amal, pihak-pihak tertentu harus memberi ruang dan peluang kepada Unit Amal untuk memantapkan organisasinya dengan lebih jayanya lagi memandangkan tuntutan-tuntutan jangka pendek dan jangka panjang yang perlu dilaksanakan. Justeru itu amat perlu bagi pihak-pihak tertentu untuk memberikan tumpuan sewajarnya terlaksananya perkara-perkara yang lebih penting dan mengkemudiankan perkara-perkara yang dipikirkan kurang penting. Di sini menuntut pihak-pihak tertentu menitik beratkan fiqhu awlawiat, mengutamakan perkara yang lebih perlu. Selagimana pihak-pihak tertentu tidak mengutamakan apa yang lebih perlu diutamakan kepada Unit Amal, selagi itulah Unit Amal tidak dapat diperkasakan dengan sewajarnya.

No comments: