Thursday, October 23, 2008

PROGRAM UNIT AMAL BERSAMA PERANTAU DI TERMINAL BAS KUANTAN





KUANTAN: Unit Amal Pahang dengan kerjasama PAS kawasan Kuantan telah mengadakan satu program sumbangan Hari Raya Aidil Fitri kepada lebih 1000 "anak rantau" yang balik ke Pahang. Program diadakan selama dua hari iaitu 27 Sept dan 28 Sept 2008. Seramai lebih 40 orang Unit Amal dan Nisa Pahang telah menjayakan program selama dua hari itu. Ia dimulakan pada pukul 10.00 malam dan berakhir sekitar jam 1.30 pagi.

Sambutan yang diberikan oleh semua penumpang amatlah menggalakkan dan ternyata ia memberi manfaat yang berguna kepada mereka di sepanjang perjalanan. Menurut Yang Di Pertua PAS Kawasan merangkap Pengarah Unit Amal Negeri Pahang, Ustaz Rosli Bin Abdul Jabar berkata "Program ini adalah acara tahunan dan telah diadakan semenjak 3 tahun yang lalu. Kesemua syarikat bas termasuk JPJ dan pihak polis yang bertugas di sekitar memberikan kerjasama yang baik atas usaha yang dilakukan.

Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua Unit Amal dan Nisa yang telah menyumbangkan tenaga untuk menjayakan program ini. Saya juga mengharapkan semoga program ini akan terus berkekalan pada tahun-tahun akan datang" katanya.Program berkenaan telah diadakan di Terminal Makmur dan melibatkan hampir kesemua syarikat bas ekpress utama. Sumbangan yang disampaikan adalah berbentuk air minuman, kuih raya, risalah dan bahan-bahan peringatan berupa doa dan sebagainya.

Acara turut diserikan dengan bacaan doa musafir yang diadakan didalam bas sebelum bertolak.Disamping itu beliau turut berharap agar semua "perantau" selamat pulang dan sampai ke destinasi masing-masing untuk pulang berhari raya bersama keluarga. Beliau juga turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat hari raya kepada seluruh pimpinan PAS semua peringkat.





No comments: